JANUARI 2023

Komitmen, Sokongan Padu Menyumbang Kemenangan Bergaya GPS PRU-15


KUCHING: Sokongan padu dan kerjasama kukuh jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu di kawasan Parlimen Petra Jaya

menyumbang kepada kemenangan bergaya kawasan itu.

Ini diakui Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Dato Sri’ Fadillah Yusof.

Sehubungan itu beliau menzahirkan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya yang bertungkus-lumus bagi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Petra Jaya.

Dengan kemenangan bergaya itu menurutnya, jentera GPS perlu meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat di setiap pelusok negeri ini.

“Jika GPS terus memberi khidmat terbaik, rakyat akan tahu bahawa hanya GPS yang membawa pembangunan tanpa mengira kaum di negeri ini.

"GPS akan terus cemerlang dan mendapat sokongan padu daripada rakyat. Dengan ini, suara Sarawak akan menjadi lebih kukuh,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada  Majlis Apresiasi Jentera Pilihan Raya P.194 Petra Jaya di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, malam tadi.

Kira-kira 2,500 ahli GPS terdiri daripada ketua cawangan, pergerakan wanita dan pemuda dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.6 Tupong, N.7 Samariang dan N.8 Satok hadir.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki dan ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Sementara itu, Fazzrudin turut menzahirkan terima kasih kepada pengundi kawasan Parlimen Petra Jaya atas kemenangan besar pada PRU-15 lalu.

Sumber dari : Jiwa Bakti